Apa itu Rehabilitasi

Keupayaan untuk melakukan aktiviti harian mungkin akan berkurangan selepas sesuatu kecederaan, penyakit atau setelah menjalani pembedahan. Penyakit seperti strok boleh mengubah kehidupan seseorang dan menjadi suatu pengalaman yang sukar bukan hanya kepada pesakit, malahan juga kepada ahli keluarga.

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi tahap kefungsian dan kebolehupayaan seseorang seperti faktor individu dan persekitaran.

Rehabilitasi adalah merupakan suatu proses untuk membantu seorang pesakit untuk pulih selepas kecederaan atau penyakit dengan mengambil kira faktor-faktor di atas.

Proses rehabilitasi merangkumi penjagaan, rawatan dan sokongan yang diperlukan untuk membolehkan seseorang pesakit mencapai tahap keberdikarian yang semaksima mungkin.

Di Hospital Rehabilitasi Cheras, kami mempunyai pasukan perubatan yang berdedikasi tinggi yang merangkumi pelbagai program perubatan rehabilitasi, termasuk rehabilitasi neurologi, spinal, pediatrik, amputi, geriatric dan pemulihan jantung – meliputi pesakit luar dan dalam.

Pasukan multidisiplin kami terdiri daripada:

  • Pakar Rehabilitasi
  • Pegawai Perubatan
  • Jururawat Terlatih
  • Pengurus Wad
  • Jurupulih Anggota
  • Jurupulih Cara Kerja
  • Jurupulih Pertuturan
  • Pegawai Psikologi Klinikal
  • Pegawai Kebajikan Perubatan
  • Pegawai Dietetik
  • Ahli Farmasi
  • Pegawai Audiologi
  • Kaunselor

Dalam proses rehabilitasi, kami menyedari bahawa setiap individu adalah unik. Sehubungan dengan itu, perancangan rawatan rehabilitasi untuk setiap persakit adalah berbeza – matlamat rawatan yang realistik akan ditentukan selepas penilaian menyeluruh dilakukan dengan mengambil kira keperluan dan keupayaan seseorang pesakit.

Pakar Rehabilitasi kami akan memantau program terapi anda dan kemajuan yang dicapai bersama-sama dengan anggota multidisiplin yang lain.