Apabila anda di dalam Wad

Penginapan

Majoriti jenis kemudahan penginapan untuk pesakit di Hospital Rehabilitasi Cheras terdiri daripada kemudahan wad kelas tiga (3). Namun kemudahan penginapan bilik kelas pertama dengan unit terhad juga turut disediakan di semua wad, kecuali wad Pediatrik.


Makanan

Kami memastikan menu makanan di yang disajikan di dalam wad pesakit bukan sahaja menarik, malah menyelerakan dan berkhasiat. Makanan disediakan oleh Unit Dietetik dan Sajian serta dipantau dari segi kualiti dan nutrisinya.  Pakar pemakanan dan Jurupulih Terapi Pertuturan kami akan memberikan khidmat nasihat khusus bagi pesakit yang mempunyai masalah menelan.


Televisyen

Televisyen dengan perkhidmatan rangkaian satelit ada disediakan di setiap wad untuk kemudahan pesakit dan pelawat.


Dobi

Jika anda perlu mendobi, bilik dobi ada disediakan di setiap wad. Di samping itu kemudahan penyidai pakaian juga disediakan.


Barang berharga milik peribadi

Pihak hospital tidak menyediakan kemudahan deposit atau peti keselamatan untuk penyimpanan barang berharga milik peribadi.  Pihak kami menasihatkan barang berharga hendaklah diserahkan sendiri kepada waris dan tidak dibawa atau disimpan di hospital.  Kami tidak bertanggungjawab jika berlaku sebarang kehilangan atau kecurian ke atas barangan milik peribadi.


Bagaimana untuk mengenali kakitangan kami?

Semua kakitangan kami diwajibkan untuk memakai pas pengenalan semasa bertugas.  Jika terdapat sebarang kemusykilan, sila rujuk kepada Unit Pentadbiran , Bahagian Pengurusan hospital atau Pengurus Wad yang bertugas.


Discaj dari hospital

Perkembangan setiap pesakit akan dibincangkan di dalam mesyuarat Interdisiplin pada setiap minggu. Tarikh discaj akan dibincangkan bersama di dalam mesyuarat tersebut dan akan dimaklumkan kepada anda atau ahli keluarga anda.


Penilaian di rumah pesakit

Apabila hari discaj anda hampir tiba, Jurupulih Cara Kerja kami akan mengadakan lawatan ke tempat tinggal anda. Ini adalah untuk membolehkan kami membuat penilaian dan memberikan cadangan tentang peralatan perubatan yang sesuai atau jika terdapat sebarang ubahsuai yang perlu dilakukan sebelum anda pulang. Kami memerlukan ahli keluarga anda hadir bersama semasa lawatan tersebut dilakukan.


Adakah saya boleh menyuarakan pendapat?

Ya, sudah tentu.  Program pemulihan yang dirangka adalah khusus untuk anda. Sebagai pesakit, anda digalakkan untuk berbincang dan bertanyakan soalan berkenaan dengan program rehabilitasi anda bagi memastikan kejayaan program tersebut.  Kami komited untuk menjadikan pengalaman anda di hospital ini sebagai suatu pengalaman yang positif untuk anda dan ahli keluarga anda.