Rehabilitasi Spinal (Saraf Tunjang)

Kami menyediakan perkhidmatan rehabilitasi bagi pesakit-pesakit yang telah mengalami kecederaan spinal (saraf tunjang) samada disebabkan oleh sebab-sebab traumatik (kemalangan jalanraya, jatuh dll) dan bukan traumatik (jangkitan, ketumbuhan , penyakit autoimun dll). Kami memberikan perkhidmatan rehabilitasi berpasukan mengikut konsep “interdisciplinary approach” yang menitikberatkan komunikasi berkala diantara ahli pasukan dan penglibatan pesakit dalam proses perawatan. Ahli pasukan kami terdiri dari Pakar Perubatan Rehabilitasi, Pegawai Perubatan, Pegawai dan Jurupulih Perubatan Anggota, Pegawai dan Jurupulih Perubatan Carakerja dan anggota-anggota kejururawatan. Ahli pasukan lain yang terlibat dalam perawatan sekiranya diperlukan termasuklah Pegawai Kaunseling, Pegawai Sosial Perubatan, Pegawai Dietetik dan Pegawai Psikologi Klinikal.

Perawatan yang ditawarkan meliputi latihan penjagaan diri, latihan mobiliti/pergerakan, latihan pengurusan pundi kencing dan usus. Kami juga menyediakan program latihan peringkat tinggi yang meliputi latihan persediaan memandu kenderaan bermotor, latihan kembali berkerja/belajar serta latihan kemahiran kerusi roda peringkat tinggi.

Perkhidmatan yang disediakan terdiri dari perawatan pesakit dalam dan perawatan sebagai pesakit luar. Perawatan pesakit dalam adalah bagi program rehabilitasi yang dijalankan secara intensif dan pesakit-pesakit akan ditempatkan di salah satu wad di hospital ini (wad 1C) yang mempunyai kapasiti sebanyak 27 buah katil. Perawatan pesakit luar pula terdiri dari perawatan di gymnasium-gimnasium secara berkala juga disertai dengan perawatan oleh pakar atau pegawai perubatan di Klinik Pakar Rehabilitasi Spinal.

Lokasi Kami
Klinik Rehabilitasi Spinal
Hospital Rehabilitasi Cheras

Perkhidmatan Pesakit Dalam
Wad 1C

Masa Operasi
Isnin hingga Jumaat
8.00am – 5.00pm
Waktu Rehat (1.00pm – 2.00pm)